Ahad, Oktober 31, 2010

Bengkel Multimedia Kreatif & ICT Siri 3

Pada 30 dan 31 Oktober 2010, telah diadakan Bengkel Multimedia Kreatif & ICT Siri 3. Bengkel tersebut sekali lagi telah diadakan di PJK Kg. Lonek. Seramai kira-kira 30 orang peserta telah menghadiri bengkel tersebut. Bengkel siri ketiga ini merupakan bengkel yang terakhir dalam program bengkel sempena Karnival Usahawan Dan ICT 2010 GPMSNS.


 
 

Rabu, Oktober 27, 2010

Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Karnival

Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Karnival telah diadakan pada 27 Oktober 2010 di Kuala Pilah dan dihadiri oleh para perwakilan daripada agensi-agensi kerajaan. Mesyuarat telah dipengerusikan oleh En. Aminudin dari Pejabat Daerah Kuala Pilah.

 


Jumaat, Oktober 22, 2010

Pertemuan bersama Pegawai Daerah Kuala Pilah

Pada hari Jumaat 22 Oktober 2010, telah berlangsung pertemuan antara pihak penganjur Karnival Usahawan dan ICT iaitu GPMS Negeri Sembilan dan Jabatan Belia Dan Sukan Kuala Pilah, bersama-sama dengan Pegawai Daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan, iaitu Tuan Haji Ibrahim b. Hassan. Pertemuan tersebut adalah bagi memohon sokongan serta membincangkan isu perlaksanaan karnival dan pihak-pihak yang terlibat bagi memastikan kelancaran program. Hasil daripada pertemuan tersebut, satu mesyuarat perlaksanaan bersama-sama agensi-agensi dan badan-badan yang terlibat telah diatur pada 27 Oktober 2010. Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tuan Haji Ibrahim dan semua pihak yang terlibat atas sokongan yang tidak berbelah bagi terhadap karnival tersebut.



Khamis, Oktober 21, 2010

Banner karnival di kaca televisyen

Banner karnival yang dipaparkan semasa perlawanan separuh akhir Bola Sepak Piala Malaysia antara Negeri Sembilan dan Johor FC pada 20 Oktober 2010 di Stadium Paroi, Seremban, Negeri Sembilan, dapat dilihat di kaca televisyen.

Penyebaran flyer dan publisiti

Pada malam 20 Oktober 2010 telah berlaku perlawanan separuh akhir Bola Sepak Piala Malaysia di Stadium Paroi, Seremban, Negeri Sembilan. Memandangkan ramai orang akan berada di sana, kami mengambil kesempatan tersebut untuk mengedarkan flyer bagi memaklumkan orang ramai tentang karnival yang akan diadakan nanti. Selain daripada itu, kami juga telah meletakkan banner di stadium bagi tujuan yang sama. Diharapkan agar maklumat dapat disampaikan kepada orang ramai. Seperti juga semangat pasukan Negeri Sembilan yang berkobar-kobar untuk memenangi perlawanan bola sepak tersebut, kami juga berkobar-kobar bagi menjayakan karnival ini, dan semoga warga Negeri Sembilan juga akan bersama-sama kami.

 
 



Ahad, Oktober 17, 2010

Bengkel Multimedia Kreatif & ICT Siri 2

Pada 16 dan 17 Oktober yang lepas, telah berlangsung Bengkel Multimedia Kreatif dan ICT Siri 2. Program tersebut telah diadakan di Pusat Jalur Lebar Komuniti Kampung Lonek, Jempol, Negeri Sembilan. Seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai golongan, termasuk usahawan desa dan IKS telah menyertai bengkel tersebut. Peserta bengkel diajar seperti biasa dengan modul yang disediakan, termasuk pembikinan blog, perisian Audacity, Photoscape dan Photo Story, serta penyediaan DST.

Sekalung penghargaan diucapkan kepada Cik Noor Rafidah Hamid Dol dan En. Mohd Khairul Azhairie Azizan, dari PJK Kg. Lonek atas usahasama hingga berjayanya bengkel ini. Tahniah diucapkan kepada para peserta kerana mengikut bengkel ini dengan jayanya. Semoga ilmu yang disampaikan dapat dimanfaatkan pada masa-masa akan datang.

 

 

Rabu, Oktober 06, 2010

Mesyuarat melalui Conference Yahoo! Messenger

Pada pukul 3 petang, hari Rabu 6 Oktober 2010, satu mesyuarat telah diadakan antara semua pihak penganjur karnival bersama-sama pihak urusetia karnival. Agenda utama mesyuarat tersebut adalah bagi memaklumkan beberapa perkara penting kepada semua pihak penganjur. Mesyuarat tersebut telah dijalankan melalui Yahoo! Messenger. Dengan adanya kemudahan Yahoo! Messenger ini, perjumpaan menjadi lebih mudah. Ini kerana semua pihak penganjur berada di lokasi yang jauh antara satu sama lain, ada yang berada di utara Semenanjung Malaysia, ada yang berada di kawasan Wilayah Persekutuan, ada dari kawasan selatan, dan beberapa lagi kawasan lain. Masa dapat dijimatkan dan semua pihak tidak perlu berjalan jauh untuk menghadiri mesyuarat. Begitulah salah satu kelebihan internet.


Ahad, Oktober 03, 2010

Bengkel Multimedia Kreatif dan ICT di Pusat Giat Mara Tampin

Pada 2 dan 3 Oktober 2010 berlangsunglah Bengkel Multimedia Kreatif dan ICT di Pusat Giat Mara Tampin, Pasir Besar, Gemas, Negeri Sembilan. Bengkel selama dua hari tersebut telah dihadiri lebih 20 orang peserta yang merupakan kalangan penduduk tempatan. Peserta-peserta kursus terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah dan belia-belia lepasan sekolah.

Dalam bengkel tersebut, para peserta telah didedahkan dengan asas-asas multimedia kreatif dan ICT. Antara perkara yang disentuh termasuk cara-cara membuat blog, asas suntingan bunyi dan lagu, menyunting dan manipulasi imej dan foto serta membuat digital storytelling (DST). Perisian-perisian yang digunakan termasuk Audacity, Photoscape dan Photo Story. Selain itu, para peserta juga diberi pendedahan dengan konsep keusahawanan serta sumbangan bidang ICT kepada bidang keusahawanan. Sebagai tugasan utama, peserta dikehendaki membuat sebuah DST untuk sebarang bidang perniagaan dan keusahawanan yang mereka minati.

Sepanjang bengkel tersebut para peserta telah menunjukkan minat yang mendalam dan memberi respon yang positif. Para peserta menunjukkan bakat dan kebolehan yang memberangsangkan walaupun boleh dikatakan agak baru dalam bidang multimedia kreatif. Satu saja harapan kami, agar para peserta dapat meneruskan dan memanfaatkan ilmu yang telah dipelajari selama dua hari tersebut.

Terima kasih kami ucapkan kepada pihak Pusat Giat Mara Tampin, MSC Malaysia dan MDEC atas kejayaan perlaksanaan bengkel tersebut.




Jumaat, Oktober 01, 2010

Mesyuarat dengan pihak Kompleks Rakan Muda Kuala Pilah

Satu mesyuarat pada hari Jumaat 1 Oktober 2010 dengan pihak Kompleks Rakan Muda Kuala Pilah bagi membincangkan penubuhan kerjasama untuk mengadakan Karnival Usahawan Dan ICT. Pihak GPMS Negeri Sembilan telah mengadakan pertemuan dengan Puan Suhaila Saad, Pegawai Belia Dan Sukan Daerah Kuala Pilah, bagi membincangkan rancangan seterusnya. Antara isi penting mesyuarat tersebut adalah perbincangan mengenai agensi-agensi lain yang akan terlibat dalam karnival tersebut, serta susun atur tapak karnival.


Persediaan siri pertama program bengkel multimedia kreatif & ICT

Bengkel Multimedia Kreatif dan ICT merupakan salah satu program yang telah dirancang dalam perlaksanaan karnival. Program bengkel tersebut akan dijalankan dalam tiga sesi berasingan, dan setiap sesi akan mengambil masa dua hari. Memandangkan sesi pertama akan dijalankan esok iaitu pada 2 dan 3 Oktober, kami pihak penganjur telah melawat tapak bengkel sehari lebih awal untuk membuat persediaan. Kami bertolak dari Seremban, Negeri Sembilan kira-kira pada pukul 9 pagi.

Bengkel sesi pertama ini akan dijalankan di Pusat Giat Mara Tampin, Pasir Besar, Gemas, Negeri Sembilan. Setibanya kami di sana kira-kira pukul 11 pagi, kami telah bertemu dengan pengurus pusat tersebut iaitu En. Azizulhakim bin Azizan yang juga merupakan Naib Presiden Majlis Belia Negeri Sembilan. Dalam pada itu kami juga meninjau-ninjau kawasan sekeliling termasuk makmal komputer dan membuat perancangan bengkel. Selepas itu, kami mengatur dan mempersiapkan makmal komputer dengan perisian yang diperlukan serta menyediakan ruang untuk pembelajaran esok. Semoga bengkel tersebut dapat berjalan dengan lancar.